Thursday, July 22, 2010

Rahsia Hati--- Bab 15


Aku mula ke sekolah hari ini. Aku masih memakai tudung walaupun bulan Ramadhan sudah berlalu pergi. Rayaku kali ini kurang meriah kerana aku dapat rasakan banyak benda hilang pada tahun ini.

Tahun ini aku dapat teman yang rapat. Aku dapat Naufal, aku dapat Faris. Aku berkawan dengan Afiq, Jason dan Ikram. Tapi tahun ini juga aku hilang Naufal, Sofea, Afiq, Jason dan Ikram. Aku kehilangan dua orang yang paling aku sayang iaitu Naufal dan Sofea. Sayang aku pada mereka melebihi sayangku pada Faris.

Seperti biasa, awal pagi , sementara menunggu bunyi loceng, aku membuat latihan past year exam terbitan Cerdik Publication. Nak buat macam mana. Ini saja aku mampu lakukan untuk mengisi masa. Sofea tidak lagi menegurku. Mesej rayaku pun tidak dibalasnya. Aku tahu Sofea marah tapi aku sudah minta maaf. Bukan sekali tapi berkali-kali.

Naufal dan rakan-rakannya sedang berbual di belakang kelas. Sofea juga berada di sana. Nina pun sama. Semakin hari Naufal semakin rapat dengan Nina. Aku hanya mampu memandang Naufal dari jauh.

“London!” jerit Ikram kuat tiba-tiba. Aku tersentak namun aku tidak menoleh. Aku tak sanggup melihat Naufal bersama Nina. Namun di otakku, asyik memikirkan kata-kata Ikram. London? Kenapa dengan London? Argh, tak penting kot.

“Kenapa dengan London?” soal Caren yang duduk berada di depan kelas.

Aku memasang telinga. Aku dengar Nina yang bersuara. “Ada orang nak pergi London!” jerit Nina pula dengan suaranya yang manja. Kadang-kadang, gedik pula aku lihat si Nina ni.

“Siapa?” tanya Caren lagi.

“Monitor class kitalah,” jawab Afiq pula.

Aku tersentak. Naufal nak pergi London? Merasakan seperti aku diperhatikan aku berpura-pura khusyuk membuat latihan. Di dalam kepalaku, aku asyik memikirkan perihal Naufal nak ke London. Aku tahu nenek Naufal menetap di London. Tapi bilakah dia akan pergi? Berapa lama? Mengapa mama ku tidak cakap yang papa Riz dan mama Hanim ingin ke London?

Loceng berbunyi. Naufal dan Sofea duduk di tempat masing-masing. Aku berlagak tenang. Lima minit kemudian, Cikgu Suraya melangkah masuk. Cikgu Suraya memberikan kami kertas percubaan negeri Selangor. Pada saat-saat menjelang SPM, kami memang hanya membuat latihan. Cikgu mengajar kami cara menjawab soalan dengan bijak. Memikirkan SPM hanya tinggal beberapa hari lagi dan betapa pentingnya SPM buatku, aku cuba melupakan perihal Naufal dan kesedihanku pada Naufal.

Di rumah, aku sibuk membuat latihan. Tiba-tiba semangatku berkobar-kobar. Aku tidak mahu mendapat keputusan yang biasa. Aku mahu straight A’s kali ini. Aku ingin buat papa dan mama gembira serta berbangga denganku. Pada pukul 5.30, aku mendapat panggilan telefon dari Faris. Dia ingin berjumpa denganku. Mulanya aku malas tapi katanya dia ada hal penting lalu aku bersetuju.

Selepas mematikan talian, aku bersiap-siap. Kemudian, aku menunuruni tangga. Ingin menunggu Faris di luar. Sebelum keluar, aku memberitahu mamaku bahawa aku ingin keluar bersama Faris sekejap.

Ketika aku di luar, aku terserempak dengan Naufal. Dia sedang menyiram bunga. Aku mengukirkan senyuman saat Naufal menoleh ke arahku. Naufal membalas senyumanku lalu meneruskan kerjanya. Tak lama kemudian, Naufal menghampiriku. Langkahnya terhenti di depan tembok batu yang memisahkan rumahku dan rumahnya.

“Err, Leya. Nak pergi taman tak? Kau dah siap ni. Dah pakai tudung pun,” kata Naufal.

Aku terpempan. Sudah lama Naufal tidak mengajakku keluar, tiba-tiba hari ini dia ajak aku. Tapi Faris sedang menuju ke sini. Baru sahaja aku ingin bersuara, aku terdengar bunyi motor di depan rumahku. Sudah tentu Faris. Aku dan Naufal menoleh ke arah yang sama. Ke arah Faris.

Naufal memandangku kembali. Aku juga begitu. Naufal tergelak kecil. “Err, kau ada date eh? Tak apalah.”

Aku merenung Naufal. Dia memandang tempat lain. Aku rasa bersalah pula. Naufal menyambung semula kerjanya tadi. Dia langsung tidak memandangku. Lalu, aku menuju ke arah Faris.

“Nak pergi mana?” soalku.

Faris memandangku. “Tempat yang Faris boleh cakap dengan Leya. Naiklah.”

Aku mengecilkan mataku. Takkan nak naik motor dengan Faris. Aku tak pernah naik motor dengan dia. Tak naklah. Tak selesa berkepit dengannya. “Err, kita pergi taman jelah Faris,” cadangku.

“Boleh jugak. Jomlah.”

“Err, jalan kaki jelah. Taman tu tak lah jauh mana.”

Mujur Faris tidak banyak kerenah. Kami ke taman dengan berjalan kaki. Teringat aku saat aku dan Naufal berjalan kaki ke taman. Sepuluh minit kemudian, kami sudah pun berada di taman, sedang duduk di bangku yang pernah aku duduk bersama Naufal. Argh, kenapa aku asyik teringatkan dia?

“Faris nak cakap apa dengan Leya?” soalku memulakan bicara.

Faris memandang depan, tidak memandangku. “Faris pelik dengan sikap Leya. Leya dah berubah. Kenapa?” soal Faris.

Aku terkedu. Aku cuba mencari jawapan. Namun aku tidak menemukan sebarang jawapan. Aku hanya membisu sambil tunduk memandang rumput.

“Faris mesej, Leya jarang reply. Faris call, selalu je Leya tak jawab. Faris ajak keluar, Leya tolak. Tadi pun, bila Faris ajak keluar, Leya tolak. Faris cakap ada hal penting baru Leya setuju. Kenapa Leya?”

Aku mengeluh. “Faris, SPM kan dah dekat. Leya nak corncentrate.”

“Leya je yang nak SPM. Faris tak?” tingkah Faris.

First time, kami bertekak. “Faris tak faham. Faris lain. Faris pandai. Leya tak pandai sangat. Leya kena study berulang kali baru Leya faham. Result trial Faris pun lebih baik dari Leya. 7 A. Leya tertekan, tahu tak?” bentakku.

Faris meraup mukanya dengan kedua-dua tangannya. “Kalau macam tu, Faris tak akan ganggu Leya mulai hari ini. Maafkan Faris sebab tidak memahami Leya.”

“Faris, bukan macam tu maksud Leya. Boleh tak Faris bagi Leya masa. After SPM, kita cakap lagi pasal hal ni boleh tak? Leya tak nak terbeban dengan perkara ni. Bagi Leya, SPM ni masa depan Leya.”

Faris memandangku. “Baiklah, kalau itu yang Leya mahukan.”

Aku menarik nafas lega setelah keluar dari dewan peperiksaan. Akhirnya, aku bebas dari bebanan yang selalu membuatkan aku pening kepala. Aku baru sahaja habis menjawab kertas EST. Selepas ini, aku boleh bersenang-lenang, tidak perlu memingkan kepalaku dengan soalan Additional Mathematics.

Alhamdulillah, aku mendapat jawab dengan baik. Ini semua berkat nasihat Naufal. Yakin dengan nikmat Allah, dekatkan diri dengan Allah, berdoa. Syukur, doaku agar diberi ketanangan dan mudah menjawab soalan dimakbulkan Allah. Kini, aku ingin berdoa moga-moga pemeriksa yang menandakan kertasku lembut hati dan gembira menanda kertasku.

Aku ingin bertemu Naufal. Aku mahu mengucapkan terima kasih tetapi aku batalkan niat saat mataku memandang Naufal sedang berbual dengan Nina. Lalu, aku menuju ke arah motorku. Ingin pulang ke rumah.

Petang itu, aku menonton televisyen. Rancangan Macam-Macam Aznil. Siaran ulangan. Sahaja aku ingin menghiburkan hatiku dengan menonton program kelakar. Mamaku sedang berbual dengan mama Hanim di luar.

Tiba-tiba aku teringatkan Naufal. Sudah lama kami tak bercakap. Aku menepuk dahi. Bukankah Naufal ingin pergi ke London. Bila ya? Soalan itu terus bermain di fikiranku. Lebih baik aku berjumpa dengan Naufal. Aku menutup suis televisyen lalu aku menuju ke luar rumah.

“Mama,” panggilku.

Mamaku dan mama Hanim memandangku. Menyedari aku sudah tersilap, aku menepuk dahi. “Alamak lupalah. Dua-dua mama Leya ada kat sini.” Aku berlawak. Mereka hanya ketawa. “Err, mama Hanim, Naufal ada tak?”

“Ada. Kat dalam tu. Dengar radio. Pergilah jumpa dia.”

Tanpa membuang masa, aku menuju ke rumah Naufal. Saat itu Naufal sedang berbaring di sofa. Radio terpasang. Lagu Faizal Tahir, Cuba. Aku tersenyum. Lagu kesukaan Naufal. Masih jelas di wajahku saat Naufal menyanyikan lagu ini. Aku berdehem kemudian memberi salam.

Naufal segera bangun lalu menoleh ke arah pintu. Aku menghadiahkan sebuah senyuman. “Err, Naufal. Keluarlah. Aku nak cakap sikit dengan kau.”

Tanpa kata, Naufal berdiri lalu menuju ke arahku. Aku berlalu menuju ke arah kerusi kayu yang terletak di taman mini di rumah Naufal. Aku duduk di atas kerusi itu. Begitu juga Naufal.

“Emm, aku nak ucapkan terima kasih di atas nasihat kau dulu. Nasihat kau sangat membantu aku. Thanks,” ucapku perlahan.

Aku memandang Naufal tetapi dia sedang memandang pokok bunga di tamannya. Hmm, kenapa dengan dia? Diam sahaja. Dia tak suka aku datang ke? Baru aku sedar, sepanjang musim SPM, aku hanya nampak Naufal ketika di sekolah.

“Small matter.”

Aku menarik nafas. Mencari keberanian untuk bercakap dengan Naufal. “Kecil bagi kau tapi besar bagi aku.”

Naufal hanya membisu. Ini membuatkan aku berasa canggung. Tambah lagi, aku sudah lama tak berbual mesra dengan Naufal. Aku datang sini sebab nak tanya Naufal pasal dia nak pergi London kan? Lupa pulak aku. “Err, aku dengar kau nak pergi London.”

Baru kali ini Naufal memandangku. Lambat-lambat dia mengangguk. “Nak lawat nenek aku kat sana.” Naufal memberitahuku.

Aku mengangguk. “Kau pergi dengan parents kau?” soalku lagi.

“Aku pergi sorang.”

Aku melepaskan keluhan kecil. Naufal seolah-olah tidak mahu berbual denganku lagi. Tapi kenapa? Apa salah aku? Hambar sungguh kata-katanya. “Berani ya kau,” komenku.

“Aku dah biasa.”

Aku mengaru kepalaku yang tak gatal. “Berapa lama kau kat sana?” soalku ingin memancing minatnya untuk berbual.

“Tiga bulan kot.”

Aku tersentak. Tiga bulan? Lama tu. Macam mana dengan aku dalam tempoh masa tiga bulan itu. Tentu aku kesunyian. Sudahlah aku tiada kawan. Sofea? Dia masih menyisihkan dirinya daripadaku.

“Err, aku nak keluar ni. Dah janji dengan kawan nak celebrate exam habis,” ucap Naufal tiba-tiba.

“Nak ikut boleh?” tanyaku spontan. Aku memandangnya. Ingin melihat reaksi. Dia membisu. Lama aku menunggu jawapan darinya. Akhirnya aku mengerti sendiri. Kehadiranku tidak digalakkan. Sudah tentu Naufal ingin keluar dengan Ikram, Sofea, Nina, Jason dan Afiq. “Err, tak apalah. Aku lupa aku kena tolong mama aku,” bohongku.

Naufal kelihatan serba salah. Aku mengukirkan senyuman walaupun aku terasa dengan sikap mereka yang masih menyisihkan aku sehingga sekarang. “Bila kau bertolak ke London?”

“Isnin depan.”

Setahu aku, hari Isnin depan 1 Disember. Hari jadiku jatuh pada hari Ahad minggu ni. “Ahad ni kau free tak? Kita keluar nak? Dah lama ar tak keluar dengan kau. Sebelum kau pergi, aku nak keluar dengan kau.” Aku nak sambut birthday dengan kau. Aku berkata dalam hati saja. Segan ingin meluahkan.

Naufal kelihatan sedang berfikir. “Hmm, tak boleh kot. Aku dah janji dengan kawan-kawan nak keluar hari tu.”

Aku terdiam. Sangkaku, Naufal akan bersetuju. “Kalau macam tu, tak apalah. Hmm, tadi kau kata nak keluar, kan? Aku balik dululah.” Aku meminta diri.

Kemudian, aku pulang ke rumah. Aku naik ke bilikku. Menghempaskan badanku di atas katil. Aku terasa. Aku sangat terasa. Sofea memang sudah membenciku. Kini, Naufal semakin menjauh. Kalau dulu, boleh juga aku berbual dengan Naufal walaupun sekejap. Layanannya baik saja. Kini, dia mulai dingin. Tak lama lagi, dia akan berhijrah ke London.

Tiga bulan. Aku merenung siling. Tiba-tiba aku terdengar suara Nina memberi salam. Aku melangkah ke tingkap. Kelihatan sebuah kereta Honda Accord model baru. Aku kenal benar kereta ini. Milik mak Ikram. Sejak bila Ikram ada lesen kereta?

Aku memandang ke arah lain. Nina dan Sofea sedang menyalami mamaku serta mama Hanim. Kemudian Naufal keluar. Gembira benar mukanya. Berbeza ketika aku berbual dengannya. Nina menuju ke arah Naufal sambil tersenyum gembira. Tidak lama kemudian, mereka masuk ke dalam kereta dan berlalu dari laman rumah Naufal.

Aku melangkah semula ke katil. Gembiranya mereka. Sedangkan aku? Air mata yang cuba ku tahan mengalir jua. Sampai hati mereka buat aku macam ini? Aku rindu. Rindu pada saat aku bersama mereka.


No comments: